Friday, April 16, 2010

..takkan putus air dicincang.. takkan berat yang sama dipikul.


Bismillahirrahmanirrahim.

Orang Melayu zaman dahulu penuh dengan madah puisi. Perkataan mereka dialas dahulu sebelum sampai kepada telinga. Didikan mereka berupa pepatah petitih. Walau teguran mereka kadang kala berupa sindiran, ayat yang menerjah telinga bagaikan lauk ayam lemak cili padi. Lemak-lemak namun pedasnya tetap terasa. Nenek moyang kita dahulu juga tersangat kreatif. Bagaimana dua helai daun kelapa boleh mereka temukan di hujung dan pangkalnya hingga menjadi ketupat, begitulah orang-orang Melayu nenek moyang kita zaman dahulu.

Kalau diperhati lama-lama ketupat yang dianyam Cik Bakar, ada rahsia kehidupan di dalamnya. Diselang-selikan dua helai daun itu hingga menjadi rangka. Kemudian ditemukan kepalanya. Diketat-ketatkan. Barulah diisikan beras. Tidak boleh penuh-penuh, bila penuh akan membuak. Sedang-sedang. Kemudian diikat dan direbus beberapa jam. Bila siap dihidang, dimakan dengan lauk lodeh dan rendang yang dimasak oleh Cik Fauziah isteri si Polan. Perut kenyang hati pun senang! Bak kata nenek moyang kita, gendang gendut tali kecapi, seterusnya sambunglah sendiri.

Apakah rahsia kehidupan yang terdapat di dalam ketupat? Rahsia itu juga termaktub di dalam ayat yang sering dilaung-laungkan. Daripada surah Al Imran ayat 103







Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

Kesatuan itulah rahsia kehidupan. Rahsia ini bukan hanya terkandung di dalam anyaman ketupat ciptaan nenek moyang zaman dahulu yang pastinya diilhamkan Sang Pencipta, ia juga lebih-lebih lagi terzahir di dalam ibadah yang telah ditetapkan. Ibadah yang penuh dengan rahsia-rahsia yang telah dan belum tersingkap. Ibadah yang menempatkan si kepala yang sentiasa berada di atas sama taraf dan sama tinggi dengan si kaki yang selalu di bawah memijak bumi. Tidak lain dan tidak bukan ibadah yang dimaksudkan ialah Solat.

Solat adalah anugerah yang amat istimewa. Tidak ada satu perintah pun yang di terima Nabi dengan secara terus menerus dari Allah SWT selain dari solat. Solat ini penuh dengan rahsia. Memahami setitik dari rahsia ini sudah besar ertinya kepada kita.



“Hayya ‘alal Falaah”, bukankah yang sering dilaungkan muazzin setiap hari zaman berzaman ialah mengajak supaya umat islam bersama-sama menuju kejayaan? Dan apakah kejayaan mempunyai kunci lain selain solat?



Nabi s.a.w. menyatakan bahawa solat berjemaah melebihi 25 kali nilainya dari solat bersendirian. Pahala sekali solat sunat fajar sahaja digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. sama dengan dunia dan isi kandungannya. Dapatkah kita bayangkan pahala solat fardu secara berjemaah?



Timbul persoalan, mengapakah solat berjemaah itu diberi perhatian berat oleh Rasulullah s.a.w.?Ini kerana Solat jemaah berkaitan dengan sistem mengatur hidup bermasyarakat. Tidak ramai di kalangan kita yang menyedari kepentingan solat jemaah dari aspek pembangunan umat. Kelebihan solat jemaah sudah cukup untuk menjadi tanda (clue) tentang kepentingan solat berjemaah. Bertitik tolak dari sini maka kita mengenali bahawa sebenarnya solat jemaah adalah kunci membina kekuatan dan tamadun umat. 



Berbalik kepada pepatah petitih nenek moyang zaman dahulu, bersatu teguh bercerai roboh. Paling tepat untuk menggambarkan prinsip solat jemaah ini. Kita bersatu hati dan perbuatan ketika menunaikan solat jemaah. Apabila bersatu maka timbullah kekuatan kerana kesatuan itu kunci kekuatan. Alangkah indahnya jika umat Islam memahami, bahawa solat jemaah yang sering dilakukan itu bertujuan untuk merapatkan hubungan kasih sayang dan mengikat hubungan kesatuan yang amat diutamakan dalam Islam. Timbul lagi persoalan, Kita boleh bersatu dalam solat harian, solat Jumaat, solat Tarawih, solat Idil Fitri dan Adha, tetapi, mengapa kita tidak boleh membawa prinsip kesatuan hati dan iman ini di luar solat?



Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa menukilkan pandangan Imam Al-Alusi yang berkata, “Pecah belah dalam masyarakat adalah dilarang terutamanya dalam perkara yang berkaitan dengan prinsip atau usul agama. Perbezaan pendapat dalam perkara-perkara ranting adalah diizinkan dalam batas-batas tertentu.”


Perbezaan pendapat boleh dibahagikan kepada tiga kategori.

Pertama, perbezaan dalam perkara prinsip atau usul. Ia memang suatu kesesatan yang jika dibiarkan akan menjadi penyebab kepada banyak kerosakan.

Kedua, perbezaan yang melibatkan pendirian serta strategi peperangan. Perbezaan pendapat dalam aspek ini juga diharamkan agama.

Ketiga, perbezaan pendapat dalam perkara ranting atau cabang, sebagai contoh dalam aspek hukum hakam fikah. Ianya diharuskan kerana nabi mengizinkan umat Islam berijtihad bertujuan untuk menetapkan sesuatu hukum agama berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, ‘Sesiapa yang berijtihad dan betul ijtihadnya dia mendapat dua ganjaran dan sesiapa yang berijtihad dan tersalah dia mendapat satu ganjaran’. Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Abu Daud.

Berhubung dengan perbezaan pendapat dalam perkara cabang, Profesor Dr. Yusuf Qardawi dalam Al-Ijtihad fi As-Syariat Al-Islamiyah berkata, “Perbezaan pendapat dalam bidang fikah bukanlah suatu yang keji. Sebenarnya perbezaan pendapat ini melambangkan fleksibiliti syariat, kesuburan sumber hukum Islam, kekayaan khazanah fikah Islam serta menunjukkan betapa tingginya sikap toleransi di kalangan ulama Islam. Sebagai contoh, dua orang sahabat dan pengikut Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Abu Yusuf dan Muhammad, berbeza pendapat dengan Abu Hanifah dalam beberapa masalah disebabkan suasana yang berubah.”






Apabila terdapat perbezaan pendapat di kalangan orang-orang Islam, yang utama sekali kita perhatikan bukanlah siapa benar dan siapa salah, siapa dia dan siapa saya, puak manakah dia dan puak manakah saya. Bukanlah kita pertikaikan siapa tapi bagaimana kita menghadapinya. Sikap yang bagaimana kita tunjukkan kepada pendapat yang disampaikan bukan kepada mereka yang menyampaikan. Perlukah kesempitan akal dan dada kita, kita sempitkan lagi dengan perasaan?

Seperti mana nenek moyang kita dahulu sering melaungkan tepuk dada tanya selera, kita ubah suai. Dalam hal ibadah, tiada ayam lemak cili padi yang menepati citarasa dan selera. Dalam hal ibadah yang ditanya bukan selera tetapi iman. Tepuk dada Tanya iman. Di manakah letaknya iman? Di dalam daging yang apabila rosak daging itu SELURUH jasad akan rosak dan begitulah sebaliknya. Bila baik daging itu maka SELURUH jasad akan baik. Itu lah hati. Kita membangunkan tamadun umat dengan hati. Kita mengikat saudara sesama Islam kita dengan hati. Sepertimana kita seimbangkan beras di dalam ketupat agar tidak membuak-buak apabila telah direbus, begitu jugalah kita seimbangkan antara penekanan soal ibadah dan kesatuan umat.

Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Janganlah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana ia akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)

Malangnya, kita sering bertemu mereka yang kuat menekan soal ibadah ritual, namun mengabaikan soal pembangunan tamadun umat. Dalam masa yang sama, kita bertemu pula ramai yang bercakap soal tamadun, namun begitu lalai dan alpa tentang soal ibadah ritual. Maka lahirlah golongan agama tanpa kekuatan, golongan profesional tanpa panduan. Ibadah gagalkan menjadikan kita khalifah, tamadun kebendaan pula menjadikan kita hamba yang lupa kepada Allah. Subhanallah!


Amat-amati dan renungkanlah hikmah disebalik setiap tatacara sebelum solat yang diperintah oleh Allah menerusi RasulNya. Mengapakah kita di anjurkan menyucikan diri dengan air? Beristinja’ dengan air? Berwudhu’ dengan air? Dan apabila tidak ada air, kita disuruh mengambil rukhsah dengan bertayammum menggunakan debu tanah, mengapa? Mengapa air dan tanah?

























Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu Kami jadikan segumpal daging, dan segumpal daging itu Kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu Kami bungkus dengan daging. kemudian Kami jadikan Dia makhluk yang (berbentuk) lain. Maka Maha sucilah Allah, Pencipta yang paling baik.


Ini kerana air dan tanah itu asal kita. Asal kewujudan di muka bumi ini dan di pengakhiran kita nanti akan kembali kepadanya.

Oleh itu, harus diketahui lagi bahawa setiap manusia itu bukan ma’sum. Kalau nenek moyang kita tersilap, kita berpindah dari taqlid dan kembali kepada asal dengan tidak membenci yang tersilap.

Marilah kita sama-sama membangun tamadun umat, mencari kesatuan dan berubah menuju pembaharuan.

Seperti nenek moyang kita dahulu, selesai menganyam ketupat, dikumpulkan lidi-lidi dari daun kelapa, diikat ketat-ketat lalu terbongkok-bongkok menyapu daun-daun kering di halaman, sampah-sampah dibersihkan. Sebatang lidi tidak akan mampu membersihkan halaman rumah manakala penyapu lidi yang telah diikat ketat-ketat dengan teratur juga perlu pemegang agar halaman rumah kemas, bersih dan sedap mata yang memandang.








bahan rujukan: 
1. Al Quran
2. As Sunnah
3. Artikel solat jemaah membangun ummah 12h ogos 2005 oleh Kalam Mas di internet
4. Artikel Dr Maza
5. Lirik lagu 'kalau melayu memang melayu' ahli fiqir







ukhtukumul aqal,
Mardhiah Bte Mohamad Haron
tahun 2, usuluddin.

No comments:

Post a Comment